
Hari Pendidikan 2019
Tarikh : 21 Nov 2019
Tempat : SK Jengka Dua
Photo Credit : FB SK Jengka Dua
Aku dijemput untuk merasmikan Hari Pendidikan SKJ2, 2019 oleh Cikgu Azlan (arwah) yang pada ketika itu baru sahaja dilantik sebagai Guru Besar yang baharu. Aku terkejut pada mulanya apabila dihubungi oleh beliau sendiri melalui sahabat aku di J2 untuk memaklumkan tentang jemputan itu. Ye, aku bukanlah sesiapa.
Sebenarnya aku memang ada menghubugi Guru Besar terdahulu sebelum ini bertujuan untuk membentuk Alumni Bekas Pelajar namun cadangan tersebut hanya separuh jalan sahaja disebabkan oleh beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.
Aku menerima pelawaan Arwah Cikgu Azlan atas dasar aku adalah salah seorang bekas pelajar SKJ2 dan aku dimaklumkan juga oleh beliau yang mereka memang sedang mengumpulkan maklumat bekas-bekas pelajar untuk tujuan memperkasakan pelajar dan juga sekolah. Dalam pada yang sama aku juga memiliki sebuah syarikat kecil yang hanya mempunyai beberapa orang kakitangan dan beroperasi di Shah Alam.
Maka di dalam ucapan aku dihadapan murid, ibubapa dan guru, aku lebih tekankan kepada pembelajaran anak-anak dan bagaimana kami sebagai bekas pelajar boleh membantu murid, cikgu dan juga sekolah.
Rezeki kami untuk meneruskan projek Cikgu Azlan terhenti apabila beliau telah kembali kerahmatullah pada 28 Januari 2020 dan tiada tindakan seterusnya dari aku dan juga pihak sekolah. Semoga arwah ditempatkan bersama pada anbiya dan dipermudahkan segala urusan keluarga beliau.
Alumni mempunyai kekuatannya tersendiri jika ia dibentuk berlandaskan ukhuwah dan bertujuan untuk 'memberi semula kepada komuniti'. Hubungan yang baik diantara Alumni, ibubapa, guru dan juga sekolah sudah tentu akan membuahkan hasil baik yang dapat dinikmati bersama.
Pengalaman selama 20 tahun aku menjadi Setiausaha di salah sebuah Alumni SBP telah memberikan aku peluang untuk berjasa bukan sahaja kepada bekas pelajar yang merupakan junior, senior dan juga sahabat aku, malah aku juga berpeluang untuk berjasa kepada bekas sekolah, guru, kakitangan dan juga masyarakat luar.
Aku pernah menjadi sebahagian dari pasukan Istana Pahang yang beroperasi dari Kuala Lumpur untuk membantu mangsa banjir di Pahang. Aku juga pernah menjadi pemudahcara menyampaikan sumbangan kepada anak-anak asnaf di sekolah.
Berjasa tanpa sempadan kerana kita mempunyai hak untuk membantu mereka yang memerlukan. Bantuan bukan sahaja berupa wang ringgit atau pun berbentuk fizikal malah kata-kata semangat dan perbuatan juga adalah sumbangan yang tidak ternilai bagi sesetengah orang.
Jangan kita mempertikaikan sumbangan orang lain atas sebab kita mempunyai cara sumbangan yang berbeza. Biarkanlah mereka dengan cara sumbangan yang mereka hulurkan. Tidak perlu sijil akademik, jawatan dan kedudukan untuk membuat kebaikan. Kau siapa untuk menilai orang itu? Sepatutnya kita mengalu-alukan semua orang yang membuat kebaikan dan bukan mencaci dan menghina mereka. Semoga kita semua dirahmati dan diampunkan dosa oleh Allah swt.
Hidup Berjasa
Azhar Aziz
Alam Budiman : Rabu, 17 Disember 2025



