- Panggilan 'Arafah 1444H
-
COMMENTS
- Hits: 3067
Panggilan 'Arafah 1444H : Bab 19 - Misi Salmah & Jumaat pertama di Mekah
- Panggilan 'Arafah 1444H
-
COMMENTS
- Hits: 3067
Jam 2.45 pagi, 9 Jun 2023 kami bergerak dari hotel menuju ke masjid untuk menunaikan solat subuh. Agak lewat dan sepanjang perjalanan kelihatan jemaah semakin ramai dan akhirnya kami dapati laluan biasa pintu 84 ke tingkat 1 telah pun ditutup. Kami diminta naik ke tingkat bumbung untuk menunaikan solat subuh.
Hari ini merupakan Jumaat pertama kami di bumi Mekah dan kami sangat teruja untuk merasai sendiri pengalaman solat Jumaat di Masjidil Haram. Terdahulu kami telah dimaklumkan bahawa banyak laluan dan pintu masuk ke masjid akan ditutup awal dan jemaah dari Misfalah (kawasan hotel kami) akan dilencongkan ke King Abdullah Gate (masjid baharu). Justeru kami tidak bercadang untuk pulang ke hotel kerana ingin terus berada di masjid sehingga solat jumaat.
Sekitar jam 5.00 pagi, kami bertemu semula di tingkat satu dan mengambil peluang melakukan tawaf sunat dalam keadaan yang tenang dan tidak tergesa-gesa. Selesai tawaf sunat sekitar jam 6.26 pagi, kami berhenti untuk solat sunat sambil membaca doa-doa yang telah dikirimkan oleh sahabat dan kenalan dari Malaysia dihadapan ka’abah.
Jam 7.00 pagi kami telahpun berada food court di Al Safwah Tower untuk sarapan pagi. Seperti biasa menu aku adalah roti canai dan teh tarik dari D’saji manakala isteri pula memesan mi dan mi hoon goreng. Keadaan persekitaran pada waktu itu memang agak riuh dengan suara jemaah dan juga para peniaga. Ramai yang berdiri menunggu meja yang kosong.
Pada waktu inilah seorang wanita muda menyapa dan bertanya sekiranya beliau boleh duduk sekali semeja dengan kami. Kebetulan memang ada ruang kosong dan kami pun hampir selesai bersarapan. Beliau terus mengambil kerusi dan duduk bersama kami.
“Orang Malaysia ke?” tanya wanita tadi.
“Ya, kami dari Malaysia” sahut isteriku semula. Maka selepas itu kami berbual agak panjang sehinggalah habis sarapan beliau.
Nama wanita muda tadi adalah Salmah dan beliau merupakan seorang jururawat professional. Sebenarnya beliau baru sahaja tiba di Mekah dari Malaysia. Berasal dari Tampin, telah bersuami dan mempunyai 2 orang cahaya mata yang masih kecil. Beliau akan bertugas di Hospital Al Noor, tempat dimana isteri kenalan kami berada. Subhanallah, tanpa berlengah Allah telah menghantar orang yang tepat untuk membantu kenalan kami tadi.
Sebenarnya sebelum ini beliau penah berkhidmat disebuah hospital swasta di Riyadh selama lebih kurang 5 tahun sebelum mengambil keputusan kembali semula ke Malaysia untuk menjaga ibu dan bapa beliau yang sedang sakit.
Allah lebih menyayangi ibunya yang telah meninggal dunia beberapa tahun yang lepas dan bapanya pula menyusul selepas itu. Selepas peristiwa tersebut, hati beliau mula terfikir untuk kembali berkhidmat di Arab Saudi dan akhirnya kini beliau telah diterima bekerja di sebuah hospital kerajaan iaitu Al-Noor Specialist Hospital.
Seronok mendengar cerita beliau yang sangat memberikan inspirasi kepada kami terutama kesanggupan beliau untuk berjauhan dengan suami dan anak-anak tercinta. InsyaAllah jika diizinkan beliau akan membawa mereka ke sini nanti.
Sekitar jam 8.45 pagi kami meminta izin untuk beredar memandangkan aku perlu masuk awal ke dalam masjid bagi mengambil tempat untuk solat Jumaat nanti.
Alhamdulillah aku berjaya masuk ke dalam masjid namun hanya dapat solat diruang laluan sahaja dan bukan di kawasan berkarpet. Namun begitu, aku agak keliru memandangkan saf kami sekarang bercampur dengan jemaah wanita.
Tidak lama selepas itu, aku berasa lega kerana akhirnya pihak polis telah mengarahkan semua jemaah wanita tersebut beredar dan bergerak ke kawasan lain yang telah disediakan untuk mereka.
Pertama kali aku mendirikan solat Jumaat disini dan sedikit kelainan dari di Malaysia. Azan pertama akan dilaungkan 30 minit sebelum masuk waktu Zohor dan azan kedua akan dilaungkan sekali lagi apabila tibanya waktu Zohor pada jam 12.20 tengahari. Ia diikuti dengan kutbah, solat jumaat dan solat jenazah seperti kebiasaannya.
Selesai solat Jumaat sekitar jam 1.00 tengahari, aku telah dimaklumkan oleh isteri bahawa rakannya yang berasal dari Hadyai, Thailand kini berada di Mekah bersama rombongan haji beliau. Kami pun berjanji untuk bertemu di Makkah Tower Hotel. Pertemuan yang tidak dijangka tersebut telah diraikan dengan penuh kegembiraan.
Tengahari itu kami pulang ke hotel dengan perasaan gembira kerana pelbagai peristiwa baik dan positif telah berlaku disepanjang hari dan ia secara tidak langsung telah menguatkan lagi semangat kami untuk menjadikan perjalanan haji ini menjadi lebih baik lagi.
Sementara itu ditanahair, puteri sulung kami telah menerima Sijil Anugerah Dekan dalam sebuah majlis yang ringkas di UiTM Pulau Pinang. Tahniah dan kami sangat berbangga dengan pencapaian beliau.
Awal pagi esok kami akan miqat di Masjid Aisha, Taniem dan seterusnya akan menunaikan umrah buat kali yang kedua bersama dengan roommate kami dan pasangan masing-masing.