
7 September 2026 - Pagi itu, aku ke pejabat seketika untuk menyelesaikan beberapa perkara sebelum balik ke rumah pada tengaharinya.
Seketika tadi aku terdengar bunyi siren ambulan sayup-sayup di luar. Aku terus kemaskan meja dan keluar dari pejabat menuju ke kereta.
"Siapalah yang sakit tu agaknya..." getus hati kecil aku.
Selesai solat zohor aku terus membuka laptop untuk menyemak perjalanan panjang yang bakal aku tempuhi bermula pada petang nanti. Aku bercadang untuk bergerak ke KLIA sekitar jam 6.00 petang, biar sampai awal untuk mengelakkan perkara-perkara diluar jangka. Penerbangan pada jam 11.30 malam di KLIA 2.
"Mak dah dibawa ke hospital dengan ambulan" satu mesej masuk, tersentak namun aku terus doakan yang terbaik untuk mak.
Aku masih belum tempah hotel selepas event selesai. Nak cari yang senang nak access serta tidak terlalu mahal. Banyak pula hotel yang aku review kerana macam-macam feedback dari pelanggan terdahulu. Hampir nak tempah, namun aku terus mencari pilihan yang lebih baik.
Jam 4.47 petang, aku menerima satu mesej yang membuatkan aku terduduk seketika, gelap rasanya dunia walaupun mata terbuka luas.
"Mak dah takde" mesej yang singkat namun aku hilang arah seketika. Tak tahu apa yang perlu aku lakukan kerana selama ini aku langsung tidak pernah menghadapi situasi yang sama.
Aku hubungi 2 orang yang aku jangka boleh memberikan buah fikiran yang tepat pada saat-saat yang getir ini. Aku juga memaklumkan kepada penyelaras program tentang situasi ini.
Aku perlukan jawapan yang tepat dari orang yang betul kerana tindakan aku selepas tu bakal memberikan kesan yang besar serta bakal tercatat sebagai sebuah memori yang akan dikenang sepanjang hayat.
Hendak teruskan atau batalkan sahaja perjalanan sejauh 5000km ini.
Sebenarnya aku memang tiada pilihan lain selain dari membatalkan perjalanan pada saat akhir. Cuma aku tidak arif dan tidak dapat berfikir sebaiknya bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini. Ye lah, perkara yang tidak pernah terjadi seumur hidup aku.
Selepas keadaan sedikit tenang, aku mula menyelusuri aplikasi Move dan juga MH untuk melihat bagaimana aku boleh cancel dan teruskan proses untuk refund.
Alhamdulillah.. Allah permudahkan. Selepas Maghrib, aku bersama keluarga berada di sisi Almarhumah Bonda untuk memberikan sumbangan terakhir kami sebagai anakanda.
Dah seminggu berlalu, Bonda mertua telah berpindah ke 'rumah' yang abadi, berhampiran dengan Arwah Abah. Pergi meninggalkan keluarga dan juga dunia selepas 81 tahun usianya. Tenanglah wahai Bonda di sana, InsyaAllah kami akan menyusul nanti.
AL-Fatihah.

