Rutin harian aku setiap pagi hari bekerja adalah menghantar isteri serta anak bongsu aku menaiki kereta untuk ke sekolah. Aku akan menghidupkan enjin kereta terlebih dahulu sementara menunggu isteri dan anak bersiap. Ciuman serta bersalaman adalah suatu yang wajib sebelum mereka memasuki perut kereta dan aku akan ekori mereka dengan anak mata hingga ke penghujung simpang.
Pagi ini, 11 Ogos 2025 adalah satu hari yang istimewa dan lain daripada biasa. Anak lelaki aku yang biasanya masuk bekerja seawal jam 10 pagi atau 2 petang, hari ini dijadualkan masuk bekerja pada jam 7.00 pagi. Jarang berlaku selama beliau bekerja di tempat baru sekarang.
Anak sulung aku pula, hari ini merupakan hari pertama beliau menjalani latihan praktikal di salah sebuah kilang di Shah Alam. Beliau akan menjalani semester akhir pengajian Ijazah Elektronik di sebuah kilang bertaraf antarabangsa sebagai salah seorang pelatih. Semoga beliau dapat bekerja sambil menimba ilmu sebaiknya di tempat tersebut. Terima kasih kepada sahabat yang membantu.
Seketika.. aku berasa sangat gembira dan bersyukur kehadrat Allah SWT kerana dapat menghantar semua orang yang aku sayangi untuk memulakan tugasan dan tuntutan ibadah pagi ini dan InsyaAllah untuk hari-hari yang seterusnya nanti.
Aku, diusia sebegini hanya inginkan kesihatan yang baik supaya dapat menjalani kehidupan yang lebih baik, kehidupan yang positif yang akhirnya akan membuatkan aku sekeluarga gembira dan mendapat keredaan Allah.
Tiada keluh kesah kerana perlu bersyukur dengan apa yang dianugerahkan. Tiada juga kekurangan kerana kita telah belajar maksud redha kepada ketentuannya.
Jom kita sama-sama berbuat baik agar kita dapat merakamkan kenangan terindah untuk dikenang sampai bila-bila.
Esok aku akan meneruskan rutin harian pagi seperti biasa.
Azhar Aziz
Shah Alam.